USM PULAU PINANG, 7 Oktober 2023 : Suasana sesi pendaftaran pelajar baharu bagi sidang akademik 2023/2024 bertempat di Desasiswa Aman Damai, Desasiswa Indah Kembara dan Desasiswa Tekun. Pendaftaran bermula seawal jam 8.00 pagi sehingga jam 5.00 petang melibatkan seramai 1,121 orang pelajar baharu USM yang dibantu oleh pelajar Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) seramai 70 orang. Seramai 320 pelajar mendaftar di Desasiswa Aman Damai, 191 pelajar di Desasiswa Indah Kembara dan 610 pelajar di Desasiswa Tekun. Ketibaan pelajar dari Sabah dan Sarawak juga turut dijemput oleh MPP USM di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Profesor Dr. Azlan Amran, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni turut hadir menyantuni pelajar baharu & pelajar PPSL semasa proses hari pendaftaran. Turut bersama ialah Encik Zulkifli Che Hussin, Pengerusi Majlis Penggawa serta barisan Penggawa dan Penolong Penggawa.