USM PULAU PINANG, 27 Oktober 2023 - Menjangkui hampir 2 dekad lebih, Malam Variasiswa 2023 Universiti Sains Malaysia (USM) terus menjadi acara utama untuk menutup Minggu Siswa Lestari khusus untuk meraikan pelajar baharu tahun pertama. Berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), hampir 2,500 hadir ke program berprestij ini. Tahun ini menyaksikan Desasiswa Murni Nurani menjadi Johan Variasiswa 2023 manakala Desasiswa Tekun tempat kedua dan Indah Kembara tempat ketiga. Manakala Pertandingan Sorakan dimenangi oleh Desasiswa Tekun, Desasiswa CGH dan Desasiswa Jaya Lembaran Utama. Hadir ke program ini adalah Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Timbalan Pendaftar BHEPA, Cik Jelfariny Jelahni; Pengarah Pusat Pembangunan Bakat, Zulkifli Che Hussin; Timbalan Pendaftar BHEPA Kampus Kesihatan Encik Hafiz Assad Bin Zakaria; Pegawai Tadbir BHEPA Kampus Kejuruteraan, Encik Mohd Hafiz Ali Bin Mohd Anuar dan Barisan Penggawa-Penggawa, Penolong Penggawa, Warga BHEPA dan Warga USM. Variasiswa merupakan program berbentuk pertandingan melibatkan persembahan nyanyian, lakonan, muzik dan sajak dalam kalangan pelajar Tahun Satu, mewakili setiap lapan desasiswa penginapan USM dari tiga kampus iaitu Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan. Antara desasiswa penginapan yang menyertai pertandingan tersebut adalah Desasiswa Tekun, Desasiswa Restu, Desasiswa Indah Kembara, Desasiswa Saujana, Desasiswa Aman Damai dan Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan dari Kampus Induk; manakala, Desasiswa Jaya Lembaran Utama dari Kampus Kejuruteraan dan Desasiswa Murni Nurani dari Kampus Kesihatan. Turut berlangsung pada malam ini adalah Gimik Penyerahan Pemberian Kad Prabayar MySiswa oleh Syarikat Onexox kepada USM.