USM PULAU PINANG, 28 Oktober 2023 :- Penganjuran Kelab Taekwondo USM bersama Pertubuhan Taekwondo Bersatu Pulau Pinang di Kejohanan Taekwondo Jemputan merupakan satu inisiatif dalam melonjakkan lagi semangat kesukanan dengan penglibatan antara universiti dan komuniti. Kejohanan yang berlangsung selama dua hari bertempat di Dewan Utama Desasiswa ini telah berjaya menarik penyertaan daripada tabika, sekolah rendah dan menengah, kolej, universiti dan pusat latihan awam dalam Negeri Pulau Pinang dan beberapa negeri lain berdekatan dengan jumlah penyertaan hampir seramai 600 orang yang terdiri daripada peserta dan pegawai. Hadir merasmikan majlis ialah Cik Jelfariny Mohd Jelahni, Timbalan Pendaftar BHEPA, mewakili Prof. Dr. Azlan Amran, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, USM. Turut hadir bersama ialah Ts. Dr. Siti Nasuha Hamzah, Penasihat Kelab Taekwondo USM, Peter Kang Teong Kheng, Ketua Instruktor, Pertubuhan Taekwondo Bersatu Pulau Pinang, pegawai-pegawai kejohanan pegawai BHEPA dan warga Universiti Sains Malaysia.