TELUK KUMBAR, PULAU PINANG, 1 Oktober 2023 :- Universiti Sains Malaysia melalui Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), menyambut baik hasrat kerajaan dalam membantu pelajar dari golongan B40 menerusi Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) Sidang Akademik 2023/2024. Pagi tadi, Prof. Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia hadir menyantuni dan menyerahkan surat tawaran melanjutkan pengajian kepada salah seorang penerima SISWA SULUNG peringkat USM, Saudari Hilma Yasarah Hussain yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik di Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal pada 8 Oktober 2023 nanti. Lebih menarik lagi apabila adik Hilma Yasarah iaitu Hilma Yasirah turut ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di jurusan yang sama. Selain itu juga, Naib Canselor turut menyampaikan sumbangan kit keperluan asas percuma mahasiswa/i B40 kepada pelajar tersebut sambil disaksikan oleh ibu dan ayah mereka. Menurut Abdul Rahman, USM mensasarkan seramai 1000 pelajar bagi pengambilan melalui Program Pembangunan SISWA SULUNG. Mereka hanya perlu mengekalkan kecemerlangan akademik dan bantuan kewangan dalam bentuk pengecualian yuran turut diberikan kecuali yuran penginapan sepanjang tempoh pengajian di USM. USM turut menjamin aspek kebajikan siswa, pemantauan dan nasihat akademik, potensi dan membentuk jati diri siswa SULUNG USM yang seimbang dan holistik melalui program HEBAT dalam usaha pemerkasaan mahasiswa berkonsepkan J.E.R.I.S (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek, dan Sosial). Turut hadir ialah Prof. Dr. Azlan Amran, Yang menjalankan fungsi TNC HEPA, Prof. Madya Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan, Dekan P. P. Sains Kemasyarakatan merangkap Penyelaras/Ketua Task-Force SULUNG, Cik Jelfariny Mohd Jelahni, Timbalan Pendaftar BHEPA dan Cik Shielawanis Abdul Karim, Unit Kebajian Pelajar dan OKU, BHEPA. Jawatankuasa yang dibentuk dalam proses semakan dan saringan program SISWA SULUNG turut membuat lawatan di beberapa kawasan berdekatan serta menyerahkan surat tawaran pada mereka yang layak.