SINTOK, KEDAH, 24 Ogos 2023 :- Unit Kebajikan Pelajar & OKU, BHEPA telah mengadakan lawatan penanda aras ke Pusat Kehidupan Berdikari (ILC Permai) Universiti Utara Malaysia (UUM). Delegasi BHEPA diketuai oleh Cik Jelfariny Mohd Jelahni, Timbalan Pendaftar BHEPA dan turut disertai oleh Cik Sheilawanis Abdul Karim, Penolong Pendaftar Kanan merangkap Ketua Unit Kebajikan Pelajar & OKU pegawai dan staf unit kebajikan BHEPA. Hadir bersama menyantuni ialah Encik M. Shahadat Ali Nordin, Penolong Pengarah Bahagian Sokongan & Perkhidmatan Pelajar HEP, Encik Muhammad Helmy Abdullah, Timbalan Pengarah ILC Permai UUM, pegawai-pegawai HEP dan staf ILC Permai UUM. ILC Permai dibangunkan di bawah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM). Ia merupakan satu-satunya pusat yang berada dalam kampus universiti. Lawatan ini membawa misi penting untuk melihat sendiri fasiliti yang disediakan bagi menjaga kebajikan pelajar OKU serta hasrat untuk membina kemudahan OKU yang efisien dan inovatif dalam memenuhi dan memperbaharui infrastruktur yang mesra OKU. Tujuan lawatan ialah sebagai usaha strategik untuk menggalakkan transformasi sistem kebajikan pelajar OKU yang lebih sistematik dan menyeluruh. Melalui lawatan ini, sedikit sebanyak dapat berkongsi maklumat dan pandangan berkaitan pengurusan hal ehwal kebajikan dan fasiliti OKU antara kedua-dua universiti. Secara tidak langsung, lawatan ini juga memberi semangat pemerkasaan kebajikan dan memelihara hak OKU yang melibatkan semua pihak serta pelajar secara khususnya.