USM Pulau Pinang, 14 Ogos 2023 – 25 kumpulan daripada pelbagai bidang pengajian telah menghadiri Pusingan Pertama, Pitch@USM 2023 yang diadakan di Lantai Seni, Kompleks Cahaya Siswa. Para peserta diberikan 7 minit untuk membentangkan idea perniagaan mereka di hadapan juri jemputan iaitu Puan Anja Juliah Abu Bakar, Pengasas Athena Holding Sdn. Bhd., Encik Bikesh Lakhmichand, Pengasas Bersama 1337 Ventures Sdn. Bhd. dan Encik Howie Chang, Pengasas Bersama dan Ketua Pengarah Urusan Forward College. Pitch@USM 2023 merupakan pertandingan pitching yang bertujuan untuk mencari idea baru yang berteraskan teknologi dan inovasi selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Prof. Madya Dr. Tan Jun Jie dalam ucapan beliau telah berkata, setiap idea yang dibentangkan perlu diselarikan dengan SDG dan turut bertemakan Keusahawanan Sosial. Peserta Pitch@USM berpeluang untuk merebut hadiah wang tunai terkumpul bernilai RM10,000.00 dan seterusnya layak untuk memohon bantuan perniagaan yang juga bernilai RM10,000.00 setelah menubuhkan syarikat untuk menjalankan perniagaan mereka.