Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua USM telah menganjurkan Majlis Pelancaran dan Jamuan Penghargaan Sambutan Ulangtahun Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua USM Ke-10 yang bertemakan ‘Traces of Time’ pada 21 Mac 2023 jam 8:00 malam bertempat di Dewan Utama Desasiswa Restu USM Kampus Induk. Seramai 300 orang tetamu hadir pada majlis tersebut. Turut hadir dan menyempurnakan majlis tersebut ialah YB Tuan Gooi Hsiao Leung, ADUN Bukit Tengah, Prof. Dr. Azlinda Azman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Encik Ooi Boon Sheng, Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, Encik Tan Ewe Hoe, Timbalan Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam merangkap Penasihat Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua USM dan Saudari Sydney Lim Xin Ni selaku YDP USM SKKT dan juga pengarah projek untuk majlis tersebut. Dalam teks ucapan YB Gooi berpendapat USM SKKT bukan saja memberi sumbangan yang amat besar dalam usaha mengembangkan budaya dan kesenian Tionghua malah juga melibatkan diri dalam aktiviti yang mengutamakan kebajikan masyarakat. Prof. Dr. Azlinda dalam teks ucapannya juga berpendapat bahawa semenjak SKKT ditubuhkan, mereka telah berjaya mempromosikan tradisi dan budaya Tionghua dalam kalangan mahasiswa/i USM di samping membuktikan bahawa USM adalah sebuah universiti yang kaya dengan warisan budaya serta mempunyai identiti nasional yang baik. Majlis turut diserikan lagi dengan aktiviti persembahan daripada pelajar. Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah Alumni USM SKKT, Malaysian Young Graduates Association (GRADUAN), Penang CNY Celebration (Miao Hui), MPKK Bukit Tengah, MPKK Juru, NGO, kelab persatuan dari pelbagai universiti, pegawai dan warga kerja BHEPA.