USM PULAU PINANG, 30 Oktober 2023 :- Program Jom MENGOPI 3.0 merupakan kesinambungan Jom MENGOPI 1.0 yang telah diadakan pada 27 Julai 2022 dan Jom MENGOPI 2.0 pada 24 September 2022 yang lepas tatkala negara mula bangkit dalam era pasca COVID-19. Prof. Dr. Azlan Amran, TNC Jaringan Industri & Masyarakat, Yang Menjalankan Fungsi TNC HEPA USM yang mewakili Naib Canselor USM dalam ucapannya mengatakan bahawa, Jom MENGOPI 3.0 yang bertemakan KEBANGKITAN : BERGELUT DALAM KEMELUT pada kali ini merupakan salah satu usaha untuk mengeratkan hubungan USM dan pihak industri melalui sesi perkongsian ilmu keusahawan yang telah diadakan bersama tujuh ikon dengan latar belakang F&B tersohor serta Alumni USM yang bergelar technopreneur. Program diteruskan dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara USM dan empat belas syarikat usahawan yang akan menjadi asas bagi USM untuk menilai dan mengkaji kemungkinan mengadakan kerjasama yang membawa manfaat secara holistik kepada para pelajar USM dalam beberapa perkara berkaitan bengkel, jaringan industri serta latihan keusahawanan. Hadir merasmikan Jom MENGOPI 3.0 ialah T.Y.T Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Hj. Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri P. Pinang, Mohd Asri Baharum, Pengurus Besar PERDA, Dato Amran Hazali, Pengurus Besar ZAKAT P. Pinang, Mohd Faiz Azmi, Pengurus Bahagian Pembangunan Usahawan PDC, Akhbarudin Nasurdin, Ketua Unit Komunikasi Korporat, FAMA P. Pinang, Hazlan Abdul Hamid, Pengarah HDC USM, Dato’ Seri Sr. Hj. Rozali Mohamud, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal T.Y.T. P. Pinang, Nor Azman Abu Bakar, Pengasas & Pengarah Jom MENGOPI, Datuk Sr. Dr. Muhamad Farid Saad, Presiden Pertubuhan Usahawan Muslim P. Pinang, pegawai penyelaras Jom MENGOPI 3.0 dan warga Universiti Sains Malaysia. Jom MENGOPI 3.0 merupakan program anjuran bersama USM BHEPA & rakan strategik oleh Yayasan Amal TYT P. Pinang dan Pertubuhan Usahawan Muslim P. Pinang serta rakan gerak kerja oleh 3KPP USM.