USM PULAU PINANG, 4 November 2023 - Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini merasmikan Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2023 kali ke-15 yang diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang yang dihadiri lebih 3,000 penonton. Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Bahasa Malaysia perlu diangkat menjadi bahasa yang ulung termasuklah dijadikan sebagai pengantara dalam membicarakan perkara besar hingga ke peringkat antarabangsa dan menjadi sebagai bahasa yang ulung, Bahasa ilmu iaitu Bahasa yang menjadi perantara dalam membicarakan hal-hal antarabangsa. Juara kategori antarabangsa ialah Gulzoda Utkurova daripada Uzbekistan, Juara kategori alam melayu ialah Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah daripada UKM dan Juara kategori PAM ialah Carla Goncalves De Oliveira Sarmento daripada Timor-Leste (pelajar UMS). Menariknya, johan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 beserta piala pusingan dan piala iringan. Naib johan pula membawa pulang wang tunai sebanyak RM8,000, manakala tempat ketiga adalah RM5,000. PABM kali ini mempertandingkan tiga kategori iaitu kategori Alam Melayu, kategori Antarabangsa dan kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM).