BATU PAHAT, JOHOR, 3 Oktober 2023 :- Seorang penerima surat tawaran di bawah Program Pembangunan SISWA SULUNG peringkat USM iaitu Saudari Soh Pao Hui yang hidup sendirian terharu apabila Encik Hirman Awang @ Semail, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) hadir menyantuni dan menyerahkan surat tawaran melanjutkan pengajian kepadanya semalam. Turun hadir bersama ialah Encik Kaliyapan A/L Rajakumaran, KPP Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) JPT, Focal Point, Seksyen Mahasiswa dan Cik Sheilawanis Abdul Karim, Penyelaras SISWA SULUNG Universiti Sains Malaysia. Encik Hirman Awang yang juga merupakan CEO Yayasan Kebajikan Siswa turut menyerahkan sedikit sumbangan wang tunai bagi meringankan beban yang ditanggung oleh Saudari Soh Pao Hui bagi membuat persiapan awal untuk memasuki universiti. Selain itu juga, Universiti Sains Malaysia melalui Unit Kebajikan, Biasiswa, Pingat & OKU, Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni USM yang diketuai oleh Cik Sheilawanis turut menyampaikan sumbangan kit keperluan asas percuma mahasiswa/i B40 kepada Saudari Soh Pao Hui. Saudari Soh Pao Hui merupakan seorang pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia telah berjaya dipilih untuk melanjutkan pengajiannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Teknologi (Kepujian) (Makanan) di Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia, kampus induk bagi Sidang Akademik 2023/2024. Saudari Soh Pao Hui merupakan seorang anak yatim piatu yang hidup sebatang kara tanpa penjaga. Kedua ibu bapanya telah meninggal dunia ketika beliau berusia 15 tahun. Setelah kematian ibu bapanya, Saudari Soh Pao Hui tinggal bersama datuknya dan setelah datuknya meninggal dunia, Soh Pao Hui dijaga oleh ibu saudaranya namun apakan daya, ibu saudaranya juga telah meninggal dunia. Kini Saudari Soh Pao Hui hanya tinggal seorang diri di rumah pusaka arwah bapanya. Semoga Saudari Soh Pao Hui tabah menghadapi ujian dan diharapkan agar beliau cemerlang apabila berada di USM nanti.