USM, PUALAU PINANG, 6 OGOS 2023 : Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPP USM) hari ini telah menjalankan program ‘Intervasity Think Tank (iTank 2023) iaitu sebuah pertandingan yang berkonsepkan ‘Live Pitch’. Program iTank berjaya menerima penyertaan peserta yang merangkumi lebih 30 Institusi Pendidikan Tinggi dari negara-negara ASEAN untuk mencipta penyelesaian digital dan lestari atas isu-isu kampus dan pendidikan tinggi termasuk kelestarian, tekanan dan alam sekitar. Dipimpin sepenuhnya oleh mahasiswa USM, Jeremy Lau Wei Han dari Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Sains Malaysia, iTank berhasrat untuk memperkasakan para mahasiswa untuk bersedia menjadi pemangkin perubahan dan mendokong hasrat KPT untuk melahirkan lapisan graduan yang berminda global. Inovasi-inovasi pemenang akan dihantar sebagai memorandum kepada pihak universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) secara rasmi. Majlis perasmian penutup, Penyampaian Hadiah dan Anugerah iTank 2023 yang bertemakan Kampus Lestari ini dirasmikan oleh Profesor Emeritus Dato' Dr. Morshidi Sirat, Penasihat Khas kepada YB Menteri Pendidikan Tinggi. Program ini menyediakan platform untuk pelajar universiti membentuk kumpulan dan bekerjasama menghasilkan idea-idea kreatif dan inovatif yang mendorong visi kelestarian Universiti Sains Malaysia (USM). Turut hadir bersama adalah Profesor Dr. Azlan Amran, yang menjalankan fungsi TNC Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, pegawai BHEPA serta pemimpin-pemimpin pelajar.